
KOTA BHARU, 11 Oktober -Keluarga seorang jururawat yang parah selepas ditikam enam kali oleh suaminya pada 5 Oktober lalu, mengharapkan keadilan buat mangsa yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
- Anak sulung menuntut keadilan untuk ibu supaya kejadian keganasan rumah tangga tidak berulang.
- Keluarga menghargai bantuan pelbagai pihak dan mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan.
- Mangsa menunjukkan perkembangan positif dan sudah mula bercakap.
- JPW melalui program SARI@KRT dan JKM akan menyediakan kaunseling, sokongan psikososial serta seruan tindakan awal masyarakat.
Anak sulung mangsa, Nik Ruziany Nik Ahmad Ruzi, 19, berkata, dia mahukan keadilan buat ibunya.
Beliau berkata, keadilan dalam kes keganasan rumah tangga amat diperlukan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang dan menimpa orang lain.
Dia turut berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan kepada keluarga serta membantu ibunya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak atasan atas bantuan yang diberikan. Saya juga berharap agar ibu saya mendapat keadilan yang sewajarnya. Saya tidak mengharapkan pembalasan terhadap pelaku, cuma saya berharap ibu saya mendapat keadilan supaya kejadian seperti ini tidak berulang dan tidak berlaku kepada sesiapa pun.”
Katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh, dan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Kelantan, Nik Farhan Muhaimin, di HRPZ II, Kota Bharu.
Nik Ruziany berkata, ibunya kini menunjukkan perkembangan positif dan sudah mula bercakap.
Sementara itu, Pengarah JPW Kelantan, Nik Farhan Muhaimin berkata, pihaknya menerusi program Santun Kasih Pemandiri @ Keganasan Rumah Tangga (SARI@KRT) akan membantu memastikan kelangsungan hidup mangsa sekeluarga dapat diteruskan.
Beliau berkata, menerusi program itu, pihaknya turut akan mengadakan sesi kaunseling dan memberikan sokongan psikososial kepada mangsa serta keluarganya.
“Melalui SARI KRT ini, kita akan membantu mangsa dan keluarganya bagi memastikan kelangsungan hidup mereka sekeluarga. Sebenarnya, bantuan ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Kita juga akan mengadakan sesi kaunseling serta menyediakan sokongan psikososial lain kepada mangsa dan keluarganya,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh menyeru masyarakat agar bertindak segera dalam mendepani dan menangani kes keganasan rumah tangga.
Katanya, mangsa tidak perlu menunggu sehingga dipukul, dianiaya atau dikasari sebelum mengambil langkah pencegahan.
“Kita ingin menyeru masyarakat supaya bertindak segera sekiranya berlaku kes keganasan rumah tangga. Jangan tunggu sehingga dipukul, dianiaya atau dikasari barulah mengambil tindakan. Langkah-langkah pencegahan perlu dilaksanakan lebih awal. Saya difahamkan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) turut mengadakan beberapa siri jelajah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu ini,” katanya.