ALOR SETAR, 5 Disember- Seorang pengarah syarikat ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pelaburan berjumlah lebih RM11 juta sejak beberapa tahun lalu.
Lelaki berusia 57 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, kira-kira pukul 4.30 petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata individu berkenaan merupakan pengarah sebuah syarikat pelaburan yang dipercayai memiliki sembilan cawangan di Perlis, Kedah, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak dan Melaka.
Tambahnya, siasatan awal mendapati modus operandi syarikat itu adalah melalui pelaburan berasaskan pembangunan hartanah serta aset dan pengurusan liabiliti dengan mereka mendakwa memiliki 10 projek yang dijalankan syarikat terbabit.
Bagaimanapun, semakan mendapati syarikat itu tidak memiliki sebarang kebenaran atau kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Siasatan dilakukan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 80 mangsa penipuan skim pelaburan menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat pelaburan di negeri itu kerana disyaki memperdaya dan menyebabkan mereka mengalami kerugian lebih RM11 juta.