KELANA JAYA, 9 Disember- Rasuah bukan sahaja berlaku dalam kalangan dewasa malah secara tidak sedar, aktiviti tersebut juga merebak dalam kalangan remaja.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata semua pihak termasuk masyarakat perlu memainkan peranan dalam memberi kesedaran mengenai rasuah terutama kepada belia.
Usaha itu sekali gus membantu meningkatkan integriti dalam diri golongan tersebut.
"SPRM sendiri telah menangkap 2,337 golongan belia yang berumur 16 tahun hingga 40 tahun atas pelbagai kesalahan dalam tempoh 2020 hingga 2024, iaitu dalam tempoh lima tahun lepas.
Ini pada saya satu jumlah yang besar, berdasarkan statistik kesalahan rasuah yang dilakukan oleh belia iaitu menerima rasuah, memberi rasuah terlibat dalam tuntutan palsu atau lebih melibatkan isu-isu penyelewengan dan sebagainya," kata Tan Sri Azam kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmiannya dalam Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024, di sini, hari ini.
Jelasnya, statistik tersebut menunjukkan bahawa aktiviti rasuah dalam kalangan belia semakin parah dan perkara tersebut perlu dibendung segera agar tidak menjadi 'penyakit' dalam komuniti.