fb fb fb fb fb

Kes lelaki jatuh Tasik Temenggor, tiada unsur jenayah dikesan - Polis Perak

Foto Fail

GERIK, 24 Januari- Tiada unsur jenayah dikesan melibatkan kematian seorang lelaki berusia 33 tahun yang lemas selepas terjatuh ke dalam Tasik Temenggor, Banding, Perak, semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas.

Maklumat mengenai kejadian diterima pihak polis pada pukul 12.10 malam daripada bapa mangsa yang memaklumkan anaknya telah terjatuh daripada rakit 'houseboat' di tasik berkenaan.

Pasukan dari Balai Polis Bersia yang menerima maklumat bergegas ke lokasi dan mendapati tiada unsur jenayah dikesan ke atas tubuh mangsa.

Pegawai kesihatan dari Hospital Gerik mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.

Siasatan lanjut mendapati mangsa telah terjatuh semasa sedang mengikat tali rakit untuk tujuan melabuhkan 'houseboat' di kawasan berhampiran Pulau JKR, Tasik Temenggor.

Jenazah mangsa diserahkan kepada pihak keluarga untuk urusan pengebumian.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM