
BINTULU, 21 Jun – Kerajaan Persekutuan akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Sarawak bagi memastikan agenda pembangunan dan kemajuan negeri itu dapat dilaksanakan secara berkesan demi manfaat rakyat serta negara secara menyeluruh.
- Meneguhkan kepercayaan dan hubungan kerja kukuh serta semangat persahabatan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
- Kerjasama diperlukan untuk menyelesaikan perkara tertangguh termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 melalui persefahaman bersama.
- Persetujuan secara prinsip pengambilalihan Pelabuhan Bintulu bernilai RM1.8 bilion, termasuk kaedah pembayaran dipersetujui kedua pihak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak yang diterajui Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjadi asas penting dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan.
“Yang penting ialah membina kepercayaan, hubungan kerja yang kukuh serta semangat persahabatan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri di Menara Kidurong di sini hari ini.
Sejak mengambil alih pentadbiran negara, kerajaan sentiasa berusaha menyelesaikan perkara-perkara yang tertangguh termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui semangat kerjasama dan persefahaman antara kedua-dua pihak.
Dalam pada itu Premier Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Anwar serta Kerajaan Persekutuan mencapai persetujuan secara prinsip mengenai pengambilalihan Pelabuhan Bintulu bernilai RM1.8 bilion, termasuk kaedah pembayaran yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri dilihat sebagai satu keputusan strategik yang mencerminkan kematangan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.