
JOHOR BAHRU, 21 Jun – Prestasi Pasaran Buruh di Johor untuk suku pertama tahun ini, berada pada tahap baik, dengan kadar pengangguran kekal di paras rendah iaitu 2.4 peratus, berbanding kadar purata nasional 2.9 peratus.
- Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Johor melepasi purata nasional, dicatatkan pada 71.6 peratus.
- MyFutureJobs mengiklan 66,661 kekosongan jawatan di Johor, menyokong peluang pekerjaan.
- Hampir 361,000 permohonan diterima melalui program, dengan 161,000 peserta berjaya ditempatkan.
- Karnival Lindungi Kerjaya MADANI himpunkan 20 majikan, tawar 2,000 kekosongan dan gaji sehingga RM16,000; sediakan perkhidmatan percuma.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) negeri itu juga, melepasi kadar purata nasional, iaitu 71.6 peratus.
Kadar tersebut disokong inisiatif yang dilakukan sekali gus memberi kesan positif termasuk menerusi MyFutureJobs yang menawarkan pengiklanan 66,661 kekosongan jawatan di Johor.
“Di Johor sahaja, hampir 361,000 individu telah mengemukakan permohonan, dan daripada jumlah itu, seramai 161,000 orang berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Karnival Lindungi Kerjaya MADANI, di sini hari ini yang menghimpunkan 20 majikan dengan menawarkan 2,000 kekosongan jawatan, dengan gaji mencecah RM16,000 sebulan.
Program berkenaan turut menyediakan perkhidmatan percuma, seperti kaunseling kerjaya, pemprofilan kemahiran dan bimbingan pembangunan kerjaya.