
KUALA LUMPUR, 21 JUN – Kerjasama strategik antara PETRONAS dan Turkmenistan yang telah terjalin selama tiga dekad akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, khususnya dalam bidang kejuruteraan serta industri minyak dan gas.
- Kerjasama memperkukuh hubungan dua hala dan menyokong pembangunan modal insan negara.
- Perjanjian dengan Turkmennebit dan Hazarnebit memperluas kehadiran PETRONAS di Laut Kaspia dan portfolio huluan.
- Pelaburan luar oleh PETRONAS menyumbang kepada pertumbuhan KDNK dan pengukuhan ekonomi negara.
- Langkah memperluas jaringan antarabangsa wajar ketika ketidaktentuan global, membuka peluang kerjasama sektor lain jangka panjang.
Profesor Sumber Manusia dan Hubungan Industri, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan, Profesor Dr. Balakrishnan Parasuraman berkata, perkembangan itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, malah memberi manfaat langsung kepada pembangunan modal insan negara.
Menurut beliau, perluasan pelaburan dan operasi PETRONAS di Turkmenistan berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya kepada tenaga kerja tempatan, terutama golongan muda yang baru menamatkan pengajian dalam bidang berkaitan.
“Ini merupakan langkah positif kerana hubungan baik yang telah dibina selama 30 tahun antara Malaysia dan Turkmenistan dapat diperkukuhkan lagi melalui kerjasama ekonomi yang lebih luas.
“Pada masa sama, ia membuka ruang pekerjaan kepada rakyat Malaysia khususnya graduan dalam bidang kejuruteraan, minyak dan gas serta sektor berkaitan,” katanya.
Beliau turut berpandangan kerjasama tersebut mampu meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai antara pemain utama industri petroleum dan gas asli di rantau Asia Pasifik.
Katanya, peningkatan aktiviti ekonomi dan pelaburan luar negara oleh syarikat berkaitan kerajaan seperti PETRONAS berupaya menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus memperkukuhkan ekonomi negara.
Dalam masa yang sama, beliau menyifatkan usaha kerajaan meneroka peluang pelaburan baharu di luar negara sebagai langkah tepat ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan susulan konflik geopolitik dan ketegangan di Asia Barat.
“Walaupun industri minyak dan gas berdepan cabaran global, usaha yang dilakukan kerajaan dan PETRONAS ini menunjukkan kesungguhan Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan ekonomi negara serta mencari sumber pertumbuhan baharu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan PETRONAS atas komitmen memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa yang disifatkan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada negara serta membuka ruang kerjasama dalam sektor-sektor lain pada masa hadapan.
Terdahulu, Petronas menerusi anak syarikat milik penuhnya Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd (PC(T)SB) telah memeterai beberapa perjanjian baharu bagi memperkukuh kerjasama strategik jangka panjang dengan negara itu.
Antara perjanjian itu adalah kerjasama dengan State Concern Turkmennebit (Turkmennebit) dan State Enterprise Hazarnebit (Hazarnebit) bagi memperkukuh kehadirannya di Laut Kaspia serta memperluas portfolio huluannya di negara itu.
Pemeteraian tersebut terjalin berikutan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkmenistan selama dua hari bermula 18 dan 19 Jun atas jemputan Presiden Serdar Berdimuhamedov, yang juga sebagai membalas lawatan rasmi pemimpin negara itu ke Malaysia pada Disember 2024.
PETRONAS memulakan operasi di Turkmenistan pada 1996 dan kemudian berkembang menjadi kerjasama berkekalan antara kedua-dua negara.