Kerajaan umum penambahbaikan BUDI Diesel menjelang akses awal esok

Kelayakan BUDI Diesel turut diperluas kepada kenderaan persendirian milik syarikat bagi kategori pikap dan jip./ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Kerajaan MADANI mengumumkan penambahbaikan terhadap pelaksanaan sistem subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) menjelang akses awal program itu bermula esok di Semenanjung Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengecualian fi tukar hak milik selama tiga bulan bermula 1 Julai untuk memudahkan pemilik mengemas kini rekod kenderaan.
  • JPJ akan membuka kaunter hujung minggu dari 4 hingga 26 Julai bagi mengendalikan urusan BUDI Diesel.
  • Pemilik berdaftar dibenarkan memindahkan kelayakan subsidi kepada ahli keluarga terdekat tertakluk syarat dan mekanisme akan diumumkan.
  • Akses awal bermula 27 Jun; pelaksanaan penuh 1 Julai, pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad pada harga ditetapkan.

Penambahbaikan dilaksanakan bagi memastikan mekanisme itu lebih lancar dan memberi manfaat kepada rakyat yang layak.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keputusan dibuat selepas kerajaan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama rakyat, peniaga kecil, pemegang taruh dan agensi pelaksana sejak pengumuman pelaksanaan BUDI Diesel pada 22 Jun lalu.

“Penambahbaikan utama ialah pengecualian fi tukar hak milik (THM) kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai bagi memudahkan pemilik mengemas kini rekod pemilikan.

“JPJ turut akan membuka kaunter pada hujung minggu dari 4 hingga 26 Julai bagi mengendalikan urusan berkaitan BUDI Diesel,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.Selain itu, kerajaan akan membenarkan pemilik berdaftar memindahkan kelayakan subsidi diesel kepada ahli keluarga terdekat yang merupakan pengguna sebenar kenderaan, tertakluk kepada syarat dan mekanisme yang akan diumum kemudian.

Dalam masa sama, kelayakan BUDI Diesel yang diperluas kepada kenderaan persendirian milik syarikat bagi kategori pikap dan jip, bakal memberi manfaat kepada peniaga kecil serta pengguna yang menggunakan kenderaan diesel untuk urusan harian dan perniagaan.

Akses awal BUDI Diesel yang bermula esok di Semenanjung Malaysia, membolehkan pengguna layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter menggunakan pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian.

Pelaksanaan penuh mekanisme itu akan bermula pada 1 Julai dengan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter kepada rakyat Malaysia yang layak.

Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan dan had subsidi bulanan menerusi portal rasmi BUDI MADANI, manakala pemilik pikap dan jip yang layak juga boleh memohon tambahan kuota sebanyak 100 liter sebulan.

Pelaksanaan BUDI Diesel akan terus dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan subsidi disalur kepada golongan yang benar-benar layak serta mengurangkan ketirisan subsidi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.