fb fb fb fb fb

Kerajaan setuju skim gaji penjawat awam dinilai semula - PM Anwar

SEREMBAN, 7 Julai - Skim gaji perkhidmatan awam wajar dinilai semula selepas mempertimbangkan tiada kenaikan diberikan bagi tempoh yang agak lama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan bersetuju untuk mengangkat isu tersebut dan akan dibangkitkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu depan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, selepas mengambil kira skim gaji penjawat awam ketika ini berada tahap yang rendah maka pertimbangan itu adalah wajar.

"Gaji penjawat awam paling akhir dinilai semula pada 2013 dan ia suatu tempoh agak lama. Pandangan mengenai itu sudah dikemukakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali kepada saya untuk memulakan pasukan mengkaji dan saya bersetuju.

"Oleh itu, kita bentangkan kepada Jemaah Menteri supaya diberikan kelulusan dan pasukan ini boleh memulakan kerja dan memberikan cadangan kepada kerajaan untuk meningkan skim gaji penjawat awam," katanya selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, tiada masa khusus bagi perbincangan itu serta belum memberi bayangan peratusan unjuran kenaikan yang akan diberikan.

Beliau menyifatkan perbincangan itu masih di peringkat awal.

"Keseluruhannya, upah dan gaji penjawat awam ketika ini masih ditahap rendah dan saya rasa ia wajar diberi pertimbangan walaupun terikat dengan kekangan kewangan sedia ada. Sedikit perubahan ini saya rasa kita boleh cari jalan supaya dapat kita beri pertimbangan," katanya.

Media Baharu