fb fb fb fb fb

Kerajaan rancang bina stesen Pemindahan sisa pepejal di Tampin

Foto BERNAMA

SEREMBAN, 29 April – Kerajaan Persekutuan merancang untuk membangunkan sebuah stesen pemindahan sisa pepejal sebagai pusat pengumpulan sementara sisa pepejal di daerah Tampin, Negeri Sembilan.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar, berkata stesen tersebut akan berfungsi sebagai pusat pengumpulan sisa pepejal sementara bagi kenderaan kutipan seperti lori kompaktor dari pelbagai lokasi.

Sisa yang dikumpulkan akan dihantar ke stesen pemindahan dan kemudian dipindahkan ke tapak pelupusan utama oleh lori bersaiz besar pada hari yang sama.

“Bagi perancangan jangka panjang, semua sisa pepejal di Negeri Sembilan akan dilupuskan di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Ladang Tanah Merah, Port Dickson, yang turut dilengkapi dengan kemudahan Waste Segregation Facility (WSF) dan Waste to Energy (WTE),” katanya.

Tambah beliau, fasiliti tersebut merupakan projek pelupusan terkini pertama di Malaysia yang dibangunkan kerajaan dalam usaha menaik taraf sistem dan kaedah pelupusan sisa pepejal yang lebih mesra alam.

Jelasnya, melalui sistem pengurusan berkenaan, penghantaran sisa pepejal akan menjadi lebih efisien tanpa menjejaskan jadual kutipan dan perkhidmatan pembersihan awam sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Chuah, Yew Boon Lye (PH-Chuah) semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di Seremban.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD