fb fb fb fb fb

Kerajaan peruntuk RM255 juta bantu pekebun kecil getah terjejas musim tengkujuh

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 20 Disember - Sebanyak RM255 juta telah diperuntukan kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi membantu pekebun kecil getah di seluruh negara yang terkesan akibat musim tengkujuh tahun ini.

Ini bagi meringankan beban pekebun kecil menghadapi cabaran pengeluaran hasil getah ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 311,596 permohonan telah diterima daripada jumlah sasaran penerima ditetapkan iaitu 318,750 individu.

“Daripada jumlah itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) telah menerima sebanyak 230,735 permohonan manakala Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) masing-masing menerima 69,077 dan 11,784 permohonan," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, setakat bulan ini sebanyak 271,213 permohonan telah diluluskan dan pemohon telah menerima bayaran sebanyak RM200 bagi November dan Disember tahun ini.

Beliau berkata, baki bayaran akan dikreditkan ke akaun penerima pada Januari dan Februari 2024 menjadikan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM800 Ringgit.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN