
PARLIMEN, 22 Januari – Kerajaan akan menilai semula had ambang lapan juta pengguna bagi tujuan pelesenan platform media sosial susulan insiden kandungan memudaratkan dalam talian yang melibatkan platform X dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) Grok.
- Kerajaan akan menilai semula had ambang lapan juta pengguna untuk pelesenan platform media sosial susulan insiden kandungan memudaratkan.
- MCMC dan kerajaan menilai kawal selia bagi perkhidmatan hibrid yang gabungkan platform media sosial dan fungsi AI.
- Sekatan akses terhadap Grok bersifat sementara; X diminta beri maklum balas bertulis dan sedia bekerjasama.
- Langkah jangka panjang termasuk pengukuhan tadbir urus AI, keselamatan dalam talian dan perlindungan kanak-kanak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu sedang diperhalusi termasuk dari aspek kawal selia bagi menangani isu kemudaratan dalam talian secara lebih menyeluruh, khususnya apabila wujud bentuk perkhidmatan “hibrid” yang menggabungkan platform media sosial dan fungsi AI.
Menurut beliau, pada masa ini platform X dikecualikan daripada pelesenan kerana didakwa tidak mencapai ambang lapan juta pengguna di Malaysia.
“Walau bagaimanapun, memandangkan insiden besar seperti ini telah berlaku, kerajaan bersama MCMC akan menilai semula had ambang lapan juta pengguna kerana kemudaratan dalam talian tidak bermakna tidak berlaku walaupun jumlah pengguna kurang daripada angka tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Fahmi berkata melalui Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA), sebuah Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menetapkan panduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan penyediaan laporan keselamatan dalam talian tahunan oleh platform digital.
Beliau menegaskan sekatan akses terhadap aplikasi Grok adalah bersifat sementara, selari dengan pendekatan yang diambil oleh beberapa negara lain.
Kerajaan juga katanya, akan meneliti maklum balas rasmi secara bertulis daripada pihak X sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
Datuk Fahmi turut memaklumkan pihak X telah menyatakan kesediaan untuk hadir ke Malaysia dan memberi komitmen bekerjasama dengan lebih mendalam termasuk penglibatan dalam inisiatif keselamatan siber serta kempen internet selamat bagi melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan MCMC telah melaksanakan beberapa inisiatif susulan sekatan sementara akses terhadap aplikasi AI Grok di Malaysia.
Menurutnya, langkah berkenaan melibatkan aspek kawal selia dan penguatkuasaan termasuk arahan kepada penyedia perkhidmatan internet (ISP), pemantauan tahap pematuhan serta keberkesanan kawalan kandungan oleh platform berkaitan.
“Untuk makluman, MCMC telah mengeluarkan notis rasmi pada 3 dan 8 Januari 2026 kepada X Corp dan xAI LLC berhubung kandungan AI Grok yang dilaporkan memudaratkan serta mengkehendaki tindakan pencegahan segera diambil,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi dalam Dewan Rakyat.
Tambahnya, MCMC juga mengadakan perbincangan bersama wakil platform X bagi mendapatkan penjelasan serta komitmen terhadap pengukuhan ciri keselamatan pengguna dan pematuhan undang-undang negara.
Pada masa sama, kerajaan memberi tumpuan kepada langkah jangka panjang termasuk pengukuhan tadbir urus AI dan pendekatan keselamatan dalam talian yang lebih menyeluruh bagi melindungi rakyat, khususnya kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan daripada kandungan memudaratkan.