KUALA LUMPUR, 3 Mei - Kerajaan MADANI akan terus mempergiat usaha menyokong anak-anak seni tempatan agar mereka mampu menghasilkan karya yang bermutu tinggi dan berdaya saing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen kerajaan itu antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama seniman ulung, Datuk M Nasir, di pejabatnya di Putrajaya, pada Jumaat.
“Semalam saya menerima kunjungan seniman ulung Datuk M Nasir di Putrajaya. Dalam pertemuan ini, kami berbicara soal industri kreatif, seni dan budaya tempatan,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Datuk Seri Anwar turut menitipkan pesanan kepada M Nasir agar terus kekal kreatif dalam menghasilkan karya seni, khususnya dalam industri muzik tanah air.
M Nasir, atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed, 67, yang sinonim dengan karya berintelektual dan berunsur ketuhanan, dianggap antara tokoh paling berpengaruh dalam perkembangan muzik serta seni kreatif Malaysia.
Selain sebagai penyanyi dan komposer, beliau turut dikenali sebagai pelakon, penulis lirik dan pengarah seni yang banyak menyumbang kepada pengukuhan identiti budaya dalam dunia hiburan tempatan.