PUTRAJAYA, 3 Oktober - Kerajaan Perpaduan kekal komited meneruskan program-program intervensi menerusi inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu mendapat kerjasama kerajaan negeri bagi menangani isu kos sara hidup rakyat.
Perkara itu diumumkan dalam Mesyuarat NACCOL Bilangan 2 Tahun 2023 yang dipengerusikan perdana menteri.
"Agensi-agensi Kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) juga telah diarahkan untuk lebih proaktif untuk bertindak sebagai agensi pengedar Beras Putih Tempatan (BPT) terutama bagi kawasan- kawasan pedalaman sebagai usaha mengurangi kesulitan kepada rakyat dalam mendapatkan bekalan beras susulan langkah intervensi yang telah diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semalam," katanya dalam kenyataan.
Dalam mesyuarat itu perbincangan mengenai kawalan harga bagi ayam bulat standard dan telur ayam yang telah dilaksanakan sejak Februari 2022, turut diberi perhatian.
Katanya, perkara itu penting bagi hala tuju kawalan memastikan kelangsungan rantaian bekalan dalam negara.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri berkaitan, Ketua Setiausaha Negara, pemain industri, wakil badan bukan kerajaan (NGO), wakil pertubuhan dan ahli akademik yang merupakan ahli-ahli Majlis NACCOL. (Foto hiasan/BERNAMA)
Dalam perkembangan lain, akses bekalan ubat turut dibincangkan supaya tidak berlaku kekeliruan dalam kalangan rakyat untuk mendapatkan ubat pada harga yang sepatutnya.
"Adalah menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan untuk memastikan mekanisme penjualan ubat adalah lebih telus untuk manfaat rakyat melalui mekanisme paparan harga. Mesyuarat bersetuju supaya perkara ini diperincikan Kementerian sebelum dimuktamadkan," kata Anwar.
Kerajaan juga peka terhadap kemungkinan gangguan bekalan gula disebabkan peningkatan harga gula mentah dunia.
Sehubungan itu, kesemua perkara itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh masa terdekat.
Sementara itu berkenaan dengan pembayaran melalui DuitNow QR, "Mesyuarat juga mendapat penjelasan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa bank utama dan penyedia perkhidmatan e-dompet yang menerima pembayaran melalui DuitNow QR telah mengumumkan bahawa mereka akan terus mengecualikan fi transaksi ke atas
perniagaan mikro dan kecil."
Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) juga akan memperuntukkan sumber bagi membantu membiayai kos yang ditanggung oleh penyedia perkhidmatan pembayaran terutamanya penyedia bukan bank yang terus menawarkan pengecualian penuh kepada perniagaan mikro dan kecil.