KUALA LUMPUR, 27 September- Kerajaan komited menyokong segala usaha membangunkan usahawan baharu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini bagi memastikan ekosistem keusahawanan terus mampan dan berkembang.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa kementeriannya akan terus memperkasakan peranan sebagai kementerian peneraju pembangunan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
"Saya percaya kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pengajian dan organisasi berkaitan dapat menjadi asas kepada pembangunan ekonomi usahawan yang mampan.
"Sokongan bersama ini akan memperkasakan usahawan kita agar dapat bergerak lebih jauh dan mencipta impak yang berkekalan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah SME Bank Sandbox Swiss Innovation Challenge 2024 di sini malam tadi.
Sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat kepada 39.1 peratus pada tahun lepas berbanding 38.6 peratus pada 2022, didorong oleh keberkesanan dasar dan intervensi yang dilaksanakan kerajaan.