KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Kerajaan disaran menyalurkan bantuan psikologi dan diplomatik kepada seluruh keluarga aktivis flotila kemanusiaan ke Gaza yang kini berdepan ancaman sekatan Israel.
Pada masa sama, Pakar Geostrategi, Profesor Dr. Azmi Hassan berkata kerajaan perlu memberi jaminan kepada mereka yang terlibat dalam misi berkenaan agar usaha mereka tidak disia-siakan.
"Pihak kerajaan perlu meyakinkan bahawa terdapat ruang untuk menggunakan saluran diplomasi dan saluran perundangan antarabangsa bagi menongkah tindakan rejim Israel itu.
"Hal ini penting untuk memberi keyakinan kepada keluarga peserta flotila bahawa pengorbanan rakyat Malaysia tidak akan menjadi sia-sia," katanya kepada pemberita RTM.
Jelasnya, saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa boleh digunakan bagi menghalang Israel daripada meneruskan sekatan tidak berperikemanusiaan di Gaza.
Langkah itu sekali gus mampu meraih sokongan masyarakat dunia untuk bersama-sama menamatkan sekatan tersebut.
Ketika ini, rejim Israel terus menggunakan kekuatan ketenteraan bagi menyekat kemasukan kapal Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa kerajaan bersedia memberikan bantuan kepada seluruh keluarga aktivis Malaysia yang menyertai misi berkenaan.
BERITA BERKAITAN:
- Aktivis, sukarelawan Malaysia ditahan; Malaysia segera selaras tindakan susulan
- Johari kecam tindakan Israel pintas kapal GSF
- Tentera Israel pintas kapal GSF
- GSF ditahan: Malaysia tidak akan kompromi dengan kezaliman - TPM Zahid
- Malaysia desak pembebasan segera aktivis GSF - PM
- Tahan GSF: Israel dikecam langgar undang-undang antarabangsa
- PBB pantau GSF, Israel tahan aktivis dan bantuan ke Gaza