fb fb fb fb fb

PBB pantau GSF, Israel tahan aktivis dan bantuan ke Gaza

Foto REUTERS

NEW YORK, 2 Oktober – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu berkata pihaknya sedang memantau rapat perkembangan Global Sumud Flotilla yang semakin menghampiri perairan Gaza, selepas kumpulan hak asasi menggesa perlindungan diberikan kepada konvoi itu.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, menegaskan bahawa keselamatan semua pihak menjadi keutamaan.

“Kami mengikuti rapat perkembangan flotila ini.

"Kami tidak mahu sesiapa tercedera dan mahu hak orang ramai dihormati,” katanya kepada wartawan.

Ditanya mengenai pendirian Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Dujarric menjelaskan PBB menyambut baik usaha advokasi terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, namun tidak akan menasihati aktivis mengenai tindakan mereka.

“Bukan peranan Setiausaha Agung untuk memberitahu mereka apa yang perlu dilakukan. Kami hanya mahu pastikan semua selamat,” katanya.

Bagaimanapun, lewat Rabu, tentera Israel menaiki beberapa bot yang membawa aktivis asing bersama bantuan ke Gaza dan menahan mereka di sebuah pelabuhan Israel, sekali gus menggagalkan protes yang menjadi simbol paling menonjol menentang sekatan Israel ke atas wilayah itu.

Sebuah rakaman video yang dikeluarkan Kementerian Luar Israel menunjukkan aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg, penumpang paling dikenali dalam flotila sedang duduk di dek dikelilingi askar.

“Beberapa kapal flotila Hamas-Sumud telah berjaya dihentikan dengan selamat dan para penumpangnya sedang dibawa ke pelabuhan Israel.

"Greta dan rakan-rakannya berada dalam keadaan selamat dan sihat,” menurut kenyataan kementerian itu di X.

Flotila Global Sumud, yang membawa ubat-ubatan dan makanan ke Gaza, terdiri daripada lebih 40 kapal awam dengan sekitar 500 penumpang termasuk ahli parlimen, peguam dan aktivis.

Perjalanan konvoi itu merentasi Laut Mediterranean mendapat perhatian antarabangsa apabila negara seperti Turkiye, Sepanyol dan Itali menghantar kapal atau dron sekiranya rakyat mereka memerlukan bantuan.

Kapal-kapal terbabit berada kira-kira 70 batu nautika dari Gaza ketika dipintas, dalam zon yang dikawal Israel.

Penganjur mendakwa komunikasi mereka diganggu, termasuk siaran langsung dari beberapa bot.

Menurut data penjejakan flotila, tujuh bot telah dipintas atau ditahan.

Tentera laut Israel sebelum ini memberi amaran bahawa flotila menghampiri zon pertempuran aktif dan melanggar sekatan sah, serta meminta mereka menukar haluan.

Israel turut menawarkan saluran selamat untuk menyalurkan sebarang bantuan ke Gaza.

Flotila merupakan percubaan terbaharu melalui laut untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza, yang kini sebahagian besarnya musnah akibat peperangan yang memasuki tahun kedua.

Flotila dijadualkan tiba di Gaza pada pagi Khamis sekiranya tidak dipintas. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD