KUALA LUMPUR , 2 Oktober - Kerajaan sedang menyelaras tindakan susulan berhubung penahanan beberapa rakyat Malaysia oleh rejim Zionis Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza di perairan antarabangsa malam tadi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beberapa langkah tambahan akan diumumkan dalam masa terdekat selepas proses penyelarasan selesai.
''Kita sedang koordinasi dengan pihak Wisma Putra dan Pejabat Perdana Menteri, Jadi nantikan dalam sedikit masa mungkin beberapa jam ini, ada beberapa pengumuman susulan tindakan-tindakan yang akan diambil oleh kerajaan dan kami sama sekali menolak dan mengecam tindakan haram rejim zionis yang memintas dan menculik semua peserta Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa.
"Tindakan biadab yang jelas mencabar undang-undang antarabangsa ini adalah sama sekali tidak boleh diterima dan kami akan menyatakan bantahan kami tidak lama lagi setelah beberapa perkara diselaraskan antara kementerian serta jabatan yang terlibat'', katanya selepas merasmikan Seminar Pembangunan Modul Latihan untuk Memerangi Berita Palsu di ASEAN 2025 di sini, hari ini.
Awal pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan usaha diplomatik akan diperkukuh bersama negara lain seperti Itali, Sepanyol dan Turki bagi menangani isu ini.
Terdahulu beberapa rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu dilaporkan ditahan tentera Israel secara tidak sah selepas kapal mereka naiki dipintas di perairan antarabangsa, awal pagi tadi.
Perkembangan itu dikongsikan menerusi akaun rasmi media sosial Sumud Nusantara Official.