PUTRAJAYA, 30 Disember – Malaysia menegaskan pendiriannya sebagai pengantara yang berkecuali dan berprinsip dalam isu sempadan antara Thailand dan Kemboja, sambil menolak sebarang dakwaan bahawa negara ini memihak kepada mana-mana pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tanggapan bahawa Malaysia tidak bertindak sebagai pengantara yang jujur hanyalah persepsi segelintir pihak yang tidak mempunyai akses kepada fakta sebenar.
“Ini hanyalah persepsi satu atau dua entiti kecil. Saya memantau perkara ini dengan sangat rapi. Mereka tidak mengetahui banyak fakta dan maklumat. Saya secara konsisten mengambil pendekatan yang sangat berhati-hati dan berhemah, dengan berbincang secara langsung dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, serta Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet,” katanya pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Beliau menegaskan, Malaysia mengambil peranan memudah cara dan memastikan pemberhentian permusuhan, tetapi keputusan sepenuhnya terletak di tangan pihak Thailand dan Kemboja.
“Kritikan terhadap kami adalah berdasarkan kejahilan dan prasangka semata-mata. Sebarang keputusan, termasuk mesyuarat sempadan yang diselaraskan oleh menteri-menteri luar, adalah selaras dengan Perjanjian Damai Kuala Lumpur dan dibuat dengan penyertaan serta persetujuan penuh kedua-dua negara,” jelas beliau.
Datuk Seri Anwar turut memaklumkan bahawa Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan Menteri Luar sentiasa berhubung rapat dengan rakan sejawatannya di Thailand dan Kemboja bagi memastikan proses rundingan berjalan lancar.
Beliau juga mengalu-alukan gencatan senjata yang dicapai antara kedua-dua negara susulan rundingan yang diadakan di China, sambil mengiktiraf peranan penting Menteri Luar China, Wang Yi, dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam menyokong Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang menjadi asas kepada usaha menstabilkan keadaan.
“Peralihan pantas kepada perbincangan susulan yang tersusun mencerminkan keazaman untuk mengelakkan konflik berulang dan menstabilkan keadaan. Kedua-dua pihak dapat menumpukan kepada langkah praktikal untuk mengurangkan risiko dan membina semula kepercayaan,” katanya.