fb fb fb fb fb

Johari kecam tindakan Israel pintas kapal GSF

Gambar di FB Dato' Johari Abdul

KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas kapal Global Sumud Flotilla (GSF).

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau menyatakan bahawa penahanan lapan warganegara Malaysia yang menyertai misi tersebut amat membimbangkan.

Tindakan Israel itu bukan sahaja mencabuli undang-undang antarabangsa, malah merupakan penghinaan moral terhadap hati nurani sejagat.

"Komitmen mereka (aktivis) untuk berdiri bersama golongan yang tertindas (rakyat Gaza) sepatutnya dihormati, bukannya diperlakukan sebagai jenayah.

"Kita berdiri teguh bersama rakyat Malaysia yang terlibat serta semua yang menyertai misi penuh belas ihsan ini.

"Kita mendoakan keselamatan mereka, pembebasan segera, dan agar bantuan kemanusiaan itu sampai ke Gaza yang amat memerlukannya," katanya.

Tambah beliau, Parlimen Malaysia mengulangi komitmen memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dan akan terus mendesak akauntabiliti, keadilan serta perlindungan terhadap nyawa orang yang tidak berdosa.

Seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) setakat pukul 7.50 waktu Malaysia selepas kapal mereka dipintas tentera Israel.

Antara yang ditahan termasuk penyanyi Heliza Helmi dan Zizi Kirana.

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM