
BACHOK, 2 APRIL – Seramai 70 nelayan di Kampung Sungai Gali, Kandis, di sini terjejas punca pendapatan susulan muara sungai tersebut semakin cetek disebabkan kemarau.
- Kemarau menyebabkan muara Sungai Gali semakin cetek, menyukarkan aktiviti menangkap ikan.
- Beberapa nelayan tidak dapat keluar menangkap ikan sekali gus mengurangkan sumber pendapatan keluarga.
- Nelayan terpaksa menolak bot kira-kira satu jam ke kawasan lebih dalam sebelum menghidupkan enjin.
- Persatuan meminta pihak berwajib melanjutkan benteng muara untuk menghalang pasir dibawa ombak besar musim tengkujuh.
Menurut nelayan, muara Sungai Gali sememang sudah cetek, namun disebabkan kemarau ia menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan ada nelayan tidak dapat keluar menangkap ikan.
Disebabkan itu pendapatan nelayan di kawasan tersebut mula berkurangan kerana perlu menunggu air pasang untuk memudahkan mereka keluar.
Nelayan terpaksa menolak bot lebih kurang satu jam ke kawasan yang lebih dalam terlebih dahulu untuk menghidupkan enjin bot sekiranya mahu keluar ke laut pada musim ini.
Wakil Persatuan Nelayan Sungai Gali, Solahudin Abdul Kadir berkata, pihaknya berharap agar pihak berwajib dapat mempertimbangkan permohonan melanjutkan benteng muara sungai tersebut.
Katanya, jika ada benteng itu, ia dapat menghalang pasir yang dibawa ombak besar ketika musim tengkujuh daripada menutup muara Sungai Gali.