fb fb fb fb fb

Tahan GSF: Israel dikecam langgar undang-undang antarabangsa

Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Tindakan rejim Israel memintas dan menggunakan kekerasan terhadap Global Sumud Flotilla yang membawa misi kemanusiaan ke Gaza disifatkan sebagai pelanggaran secara terang-terangan undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia.

Pasukan Peguam Antarabangsa dalam satu kenyataan memaklumkan sekatan laut yang dikenakan Israel ke atas Gaza adalah tidak sah dan memberi kesan buruk kepada orang awam dengan menghalang akses mereka kepada bantuan kemanusiaan, sehingga mengakibatkan kebuluran.

“Manual San Remo Artikel 102 jelas melarang sekatan laut yang dikenakan Israel ke atas Gaza.

"Penyalahgunaan kuasa secara berterusan oleh Israel di wilayah Palestin yang diduduki melanggar prinsip asas undang-undang antarabangsa dan menjadikan kehadiran Israel di wilayah tersebut sebagai tidak sah,” menurut kenyataan itu yang merujuk kepada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai 2024.

Konvoi Flotila digambarkan sebagai misi kemanusiaan aman tanpa kekerasan, hanya bertujuan menghantar ubat-ubatan dan makanan kepada rakyat Palestin.

Tindakan Israel menghentikan perjalanan kapal tersebut dinilai sebagai pencabulan kebebasan pelayaran di laut lepas.

“Campur tangan Israel terhadap flotila telah melanggar kebebasan pelayaran. Ia adalah satu pencabulan terang-terangan undang-undang antarabangsa di laut lepas,” tegas kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut menegaskan bahawa Israel mempunyai kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk memastikan kelancaran laluan bantuan makanan dan perubatan, seperti yang dinyatakan dalam Konvensyen Geneva Keempat serta Protokol Tambahan I.

“Israel bukan sahaja gagal mematuhi kewajipan ini, malah menggunakan kebuluran sebagai senjata perang.

"Tindakan agresif dan ganas terhadap flotila adalah sebahagian daripada strategi genosid yang berterusan,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, tindakan Israel didakwa melanggar perjanjian hak asasi antarabangsa termasuk International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR), kerana menafikan hak hidup, kebebasan dan keselamatan penumpang flotila yang merupakan orang awam.

Susulan itu, Israel didesak segera membebaskan semua individu serta kapal yang ditahan, membayar pampasan sewajarnya, serta memohon maaf secara terbuka.

“Negara-negara dan organisasi antarabangsa harus campur tangan bagi mengelakkan penyalahgunaan selanjutnya terhadap hak individu di atas flotila.

"Mereka juga perlu mengambil tindakan institusi terhadap Israel atas pelanggaran undang-undang antarabangsa, khususnya berhubung genosid yang sedang berlaku di Gaza,” menurut kenyataan itu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD