fb fb fb fb fb

Colombia usir diplomat Israel susulan penahanan aktivis Flotila

Presiden Colombia, Gustavo Petro /REUTERS

BOGOTA, 2 Oktober - Presiden Colombia, Gustavo Petro pada Rabu mengarahkan pengusiran seluruh delegasi diplomatik Israel susulan penahanan dua wanita warga Colombia yang menyertai konvoi kemanusiaan flotila ke Gaza.

Keputusan berkenaan diumumkan Petro menerusi media sosialnya.

Beliau menyifatkan penahanan berkenaan sebagai berpotensi menjadi “jenayah antarabangsa baharu” oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Beliau turut serta-merta menamatkan perjanjian perdagangan bebas Colombia dengan Israel.

Tindakan itu mencetuskan protes di Bogota, dengan penunjuk perasaan mengecam penahanan Manuela Bedoya dan Luna Barreto, yang berada di atas kapal Global Sumud Flotilla.

“Ia benar-benar tidak adil. Mereka hanyalah orang awam yang cuba menghantar bantuan kepada penduduk yang dikepung dan kelaparan, tetapi dunia tidak berbuat apa-apa,” kata seorang penunjuk perasaan, Diana Torres.

Sekumpulan aktivis juga berkumpul di hadapan ibu pejabat Persatuan Perniagaan Nasional Colombia (ANDI), menuduh badan itu mengekalkan hubungan komersial dengan Israel di tengah-tengah konflik yang berterusan.

Menurut pergerakan Global Sumud, aktivis yang ditahan itu sedang dibawa ke sebuah pelabuhan Israel.

Kumpulan itu juga menyeru mobilisasi menentang apa yang sifatkan sebagai keterlibatan ekonomi dalam tindakan Israel di Gaza.

Petro, yang lantang mengkritik kempen ketenteraan Israel, dalam kenyataannya turut membandingkan dasar Israel terhadap Palestin dengan rejim Nazi Jerman. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD