fb fb fb fb fb

Flotila: Ratusan penunjuk perasaan di Turkiye kecam Israel

Foto REUTERS

ISTANBUL, 2 Oktober -Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di Turkiye pada Khamis bagi membantah tindakan Israel memintas konvoi kemanusiaan flotila yang membawa bantuan ke Gaza.

Penunjuk perasaan turut menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin dan mengutuk tindakan rejim Zionis.

Di Istanbul, kumpulan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan Konsulat Israel sambil melaungkan slogan anti-Israel dan mendesak kerajaan Turkiye mengambil tindakan lebih tegas mempertahankan flotila berkenaan.

“Kerajaan Turkiye sepatutnya mengambil lebih banyak langkah untuk mempertahankan flotila,” kata seorang penunjuk perasaan, Yusuf Miroglu.

Seorang lagi peserta, Muhammet Omer Kisman, turut menggesa negara-negara Islam bersatu dan mengambil pendirian lebih tegas terhadap Israel.

Sementara itu, satu lagi demonstrasi turut berlangsung di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Ankara.

Penunjuk perasaan dilihat menyalakan suar serta mengibarkan bendera Turkiye dan Palestin.

Penunjuk perasaan turut membawa Sebuah kain rentang gergasi bertulis “Hamas, kami bersamamu,” sambil melaungkan sokongan terhadap Palestin dan Global Sumud Flotilla.

Global Sumud Flotila (GSF), yang terdiri daripada lebih 40 bot awam dengan kira-kira 500 penumpang termasuk ahli parlimen, peguam dan aktivis, turut disertai wakil dari Itali.

Konvoi kemanusiaan itu berusaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dengan membawa ubat-ubatan dan makanan, meskipun telah berulang kali diberi amaran oleh Israel supaya berpatah balik.

Namun, kapal-kapal flotila itu dipintas semalam (Rabu), apabila pasukan Israel menaiki bot terbabit dan menahannya ke sebuah pelabuhan Israel.

Tindakan itu sekali gus menggagalkan protes yang menjadi antara simbol paling berprofil tinggi menentang sekatan Israel ke atas Gaza. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD