KUALA LUMPUR, 10 September - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua aktivis dan sukarelawan Malaysia serta antarabangsa misi Global Sumud Flotilla (GSF) dibebaskan dengan kadar segera.
Datuk Seri Anwar mengesahkan menerima maklumat daripada pasukan aktivis dan sukarelawan Malaysia susulan tindakan rejim Zionis Israel memintas konvoi kemanusiaan GSF yang dalam perjalanan ke Gaza.
Beliau turut menekankan bahawa misi tersebut adalah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata dan bantuan penting yang diperlukan rakyat Gaza.
"Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan.
"Dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar, flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia.
"Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan," katanya.
Katanya, Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara Malaysia terlibat.
"Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli," katanya.
Tambah beliau, selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak serta menuntut agar kezaliman dan perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan.