BANDARAYA MELAKA, 2 Oktober – Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mendapat sambutan positif daripada masyarakat yang menyifatkannya sebagai langkah berkesan kerajaan bagi memastikan subsidi petrol sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
Melalui kaedah itu, rakyat hanya perlu menggunakan kad pengenalan (MyKad) ketika mengisi minyak untuk menikmati subsidi, sekali gus menutup ruang ketirisan serta penyalahgunaan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pengurus pasar raya, Nor Amin Arshad, berkata usaha kerajaan itu wajar dipuji kerana berjaya memelihara kepentingan rakyat tempatan.
“Baguslah kerajaan buat macam ini kerana dapat mengelakkan ketirisan. Sepatutnya hanya rakyat yang berhak, bukannya pihak yang tidak berkenaan seperti warga asing. Semua ini duit rakyat, kita bayar cukai, jadi kitalah yang patut mendapat manfaat,” katanya ketika ditemui.
Bagi pesara, Ong Cheng Chin, BUDI95 turut memberi keselesaan kerana proses mengisi minyak menjadi lebih mudah tanpa mengambil masa panjang.
“Orang-orang Malaysia dibantu melalui inisiatif ini. Cara prosesnya cepat dan senang, tidak mengganggu serta selesa untuk saya,” ujarnya.
Sementara itu, jururawat, Faridah Jaswadi, berkata langkah tersebut menghalang cubaan pihak luar untuk menipu bagi mendapatkan subsidi.
“Pada saya oklah sebab orang asing tak boleh nak manipulasi, sebab kita guna kelayakan rakyat sendiri,” jelasnya.
BUDI95 merupakan sebahagian daripada agenda Ekonomi MADANI kerajaan bagi memastikan pemberian subsidi petrol RON95 lebih tersasar dan adil, sekali gus mengurangkan beban kewangan negara daripada terus menanggung subsidi pukal.
Dengan pelaksanaan mekanisme baharu ini, hanya warganegara yang berdaftar dan layak sahaja dapat menikmati harga subsidi, manakala golongan yang tidak berkelayakan perlu membeli pada harga pasaran.
Langkah itu dilihat bukan sahaja dapat melindungi hak rakyat Malaysia, malah membantu kerajaan menyalurkan lebihan dana subsidi kepada sektor lain yang memberi manfaat langsung seperti pendidikan, kesihatan dan kebajikan.