KUALA LUMPUR, 10 September - Kerajaan tidak akan berkompromi tentang isu keselamatan rakyat Malaysia susulan tindakan rejim Zionis Israel yang memintas dan menghalang misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan penting ke Gaza.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut yang sekali lagi membuktikan wajah sebenar Israel sebagai sebuah rejim penjajah yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa, nyawa, dan sanggup menindas misi berkenaan.
"Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia akan menggunakan segala saluran sah bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya berkaitan keselamatan warganegara kita.
"Keselamatan mereka adalah keutamaan dan dalam hal ini, kita tidak akan berkompromi," tegas beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, kapal-kapal itu membawa sukarelawan dan bekalan penting untuk rakyat Palestin yang menderita akibat sekatan zalim, namun mereka berdepan intimidasi, kekerasan dan paksaan.
"Misi ini adalah simbol solidariti, kasih sayang dan harapan dunia terhadap Palestin. Tindakan Israel bukan sahaja satu bentuk kezaliman terhadap rakyat Gaza, tetapi juga penghinaan terhadap suara kemanusiaan sejagat," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa secara peribadi mengikuti rapat perkembangan misi tersebut sejak dari awal, termasuk berhubung terus dengan sukarelawan Malaysia berkenaan.
"Saya tahu dugaan mereka amat besar, cabaran yang dihadapi tidak mudah. Namun doa seluruh rakyat Malaysia sentiasa bersama mereka.
"Semoga Allah SWT melindungi dan mengurniakan kekuatan untuk mereka meneruskan misi mulia ini. Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Palestin, sehingga keadilan dan kebebasan menjadi milik mereka," katanya.