KLANG, 2 Oktober -Lebih 2,000 rakyat hadir menyaksikan perarakan Istiadat Pernikahan Diraja, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dengan pasangan baginda, Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz.
Suasana di perkarangan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dipenuhi dengan kemeriahan apabila orang ramai tidak melepaskan peluang merakam detik bersejarah itu.
Mereka meluahkan rasa teruja kerana berpeluang menyaksikan istiadat penuh adat secara dekat, sekali gus menyifatkannya sebagai satu kebanggaan buat rakyat Selangor.
"Menyaksikan sebab bukan selalu, tambahan pula Raja Muda memang dekat di hati kami, sebab selalu turun ke Kuala Selangor. Saya rasa seronok dan bangga dapat bersama-sama," kata Zuriyati Ismail.
"Sekolah kami dijemput, seramai 182 orang hadir dari pihak kolej. Kami sebagai pelajar sangat teruja sebab ini pertama kali bagi kami semua," pelajar kolej, Nur Afnie Najwa Jasman.
"Syukur Alhamdulillah. Kami penduduk mendoakan semoga Raja Muda dirahmati Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan," Rafik Anuar Mohd Ikramz.
Terdahulu, Raja Muda Selangor yang lengkap berbusana tradisional baju Melayu bersongkok, dipandu berarak menaiki kereta Rolls Royce dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz menuju Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, sejauh 1.2 kilometer.
Seramai 400 anggota polis turut ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran sepanjang perarakan tersebut.