GAZA, 2 Oktober - Tentera Israel memintas sebuah flotila antarabangsa yang cuba menghantar ubat-ubatan dan makanan ke Gaza, sebelum menaiki kapal-kapal berkenaan ketika ia menghampiri Gaza, menurut penganjur misi itu.
Beberapa penumpang memaklumkan kira-kira 20 kapal Israel menghampiri kapal tersebut pada malam Rabu, ketika para aktivis memakai jaket keselamatan dan bersedia menghadapi tindakan tentera.
“Beberapa kapal… telah dipintas dan dinaiki secara haram oleh tentera Israel di perairan antarabangsa,” kata penganjur dalam satu kenyataan.
“Kami sedang berusaha untuk mengesahkan kedudukan semua peserta dan kru.”
Mereka turut mendakwa komunikasi terganggu sebelum tentera Israel menaiki kapal, menyebabkan siaran langsung dari beberapa bot terputus selain mengganggu hubungan antara kapal-kapal flotila.
Global Sumud Flotilla terdiri daripada lebih 40 kapal awam dengan sekitar 500 penumpang termasuk ahli parlimen, peguam serta aktivis antaranya aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg yang berusaha memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza, meskipun berkali-kali diberi amaran supaya berpatah balik.
Kapal berkenaan berada kira-kira 70 batu nautika dari Gaza ketika dipintas, dalam zon yang dikawal Israel bagi menghalang sebarang bot menghampiri wilayah itu.
Siaran langsung dari salah sebuah kapal menunjukkan para penumpang memakai jaket keselamatan sambil duduk di dek.
Setakat ini tidak jelas berapa banyak kapal telah dipintas atau ditahan, dengan beberapa penumpang melaporkan bot mereka masih meneruskan perjalanan.
Konvoi berkenaan merupakan usaha terkini melalui laut untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza, yang kini sebahagian besarnya musnah akibat hampir dua tahun peperangan.
Ia dijangka tiba di Gaza pada pagi Khamis sekiranya tidak dipintas.
Israel telah mengenakan sekatan laut ke atas Gaza sejak Hamas mengambil alih wilayah pantai itu pada 2007.
Beberapa percubaan terdahulu menghantar bantuan melalui laut juga telah dihalang.
Pada 2010, sembilan aktivis terbunuh selepas tentera Israel menaiki flotila enam kapal yang membawa 700 aktivis pro-Palestin dari 50 negara.
Pada Jun tahun ini, pasukan tentera laut Israel turut menahan Thunberg dan 11 kru kapal kecil anjuran kumpulan pro-Palestin Freedom Flotilla Coalition ketika ia menghampiri Gaza. - REUTERS