KUALA TERENGGANU, 8 Januari- Seorang peniaga bakal berdepan tindakan undang-undang susulan kes keracunan makanan sehingga menyebabkan seorang wanita meninggal dunia Disember lalu dalam kejadian di hentian Rehat dan Rawat (R&R) dekat Kemaman.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr. Kasemani Embong dalam satu kenyataan berkata keputusan ujian makmal terhadap sampel makanan yang telah diambil menunjukkan berlaku pelanggaran bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.
Pada Disember lalu wanita 54 tahun itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu setelah mendapat rawatan akibat keracunan makanan.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Kasemani berkata, pengusaha dan pengendali makanan perlu sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan serta keselamatan makanan dan minuman yang dijual.
Beliau menasihati peniaga agar menyediakan makanan yang bersih serta selamat bagi mengelak kes keracunan makanan.
Katanya, tindakan perundangan termasuk pendakwaan ke mahkamah akan diambil terhadap pengusaha dan pengendali makanan yang cuai dalam penyediaan makanan sehingga menyebabkan makanan dijual kepada orang ramai tercemar oleh bahan atau bakteria, virus dan sebagainya.