fb fb fb fb fb

Naik tambang bas sekolah, lesen syarikat akan ditarik - Anwar

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 Jun- Tarik lesen dan batalkan syarikat pengusaha bas sekolah.

Itu amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya ada pengusaha bertindak menaikkan tambang bas sekolah, sedangkan mereka menerima subsidi diesel menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

"Bas sekolah naik, kamu diberi subsidi minyak dan kamu naik... kamu jaga.

"Saya tidak tahu orang lain tapi kalau saya, kalau kamu naik juga dengan keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu, batalkan syarikat kamu..kalau tak anak kita di sekolah dibeban," kata Anwar ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di PICC di sini.

Tambahnya, pengusaha perlu berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jika belum menerima ‘fleet card’ di bawah SKDS.

Menerusi SKDS, 'fleet card' itu membolehkan pengusaha bas sekolah terus menikmati kuota 1,800 liter diesel sebulan dengan harga RM1.88 seliter.

Menurut beliau lagi, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bukan satu tindakan yang mudah kerana tidak mahu membebankan rakyat.

"Saudara, ingat kita dalam Jemaah Menteri senang-senang nak lakukan, tak berhati perut, tak peduli orang susah, naikkan harga barang, tidak.

"Kalau saya sendiri, puluh kali mesyuarat teliti soal supaya tak terbeban, maka nelayan dikecualikan maka subsidi diteruskan, tak ditarik untuk nelayan, pekebun kecil dan bas sekolah," kata Anwar.

Mulai Isnin lalu, kerajaan menetapkan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter di Semenanjung menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang mampu menjimatkan RM4 bilion setahun.

Selain SKDS, kerajaan juga melaksanakan inisiatif Budi MADANI yang menyalurkan RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM