fb fb fb fb fb

Kenaikan gaji: Penjawat awam, pesara bakal dapat khabar gembira - Fahmi

Foto FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 4 Disember- Kerajaan dijangka mengumumkan beberapa berita gembira buat penjawat awam dan pesara pada tahun depan, antaranya berkaitan kenaikan gaji.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata beberapa keputusan telah dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan perkara berkenaan akan diumumkan  perdana menteri atau ketua setiausaha negara.

Bagaimanapun, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan tidak memperincikan lanjut mengenai perkara tersebut.

"Tetapi pada masa yang sama ada dua perkara penting bagi mereka yang masih berkhidmat.

"Pertama kita telah luluskan Kertas Putih Dasar Gaji Progresif bagi pekerja di sektor swasta.

"Jadi, insya-Allah bermula 2024 pelaksanaan gaji progresif itu kita harap akan dapat menampakkan peningkatan pendapatan bagi pekerja di sektor swasta," katanya kepada pemberita ketika Forum Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam: Menjadikannya Lebih Cekap Dan Berkesan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Bukit Kiara, hari ini.

Sebelum ini, perdana menteri memaklumkan kerajaan akan menaikkan gaji kira-kira 1.6 juta penjawat awam dalam amaun kecil buat sementara waktu melalui Belanjawan 2024 sebelum kenaikan berkala bagi setiap 10 tahun.

Fahmi memaklumkan pendaftaran bagi Identiti Digital Nasional (IDN), penjawat awam akan menjadi kumpulan pertama, selain penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan turut diminta mendaftar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM