Kemarau 35 hari, bekalan air Perlis masih stabil

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah/Foto RTM

KANGAR, 2 Februari – Perlis kini berdepan kemarau selama 35 hari tanpa hujan, namun bekalan air untuk kegunaan domestik dan pertanian masih mencukupi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekalan air domestik dan pertanian di Perlis masih mencukupi walaupun kemarau 35 hari.
  • Empangan Timah Tasoh belum kritikal, paras sekitar 71.13 persen atau 28.15 meter.
  • Penyaluran air untuk padi diselaraskan oleh MADA dan JPS untuk kekalkan bekalan.

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata setakat ini paras air di Empangan Timah Tasoh juga belum berada pada tahap kritikal.

“Saya lihat paras air di empangan masih mencukupi untuk pengguna di Perlis,” katanya sambil memaklumkan bekalan air itu stabil dan dapat digunakan sekurang-kuranganya sebulan lagi sekiranya tiada hujan.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Mobile Apps dan Tanker Syarikat Air Perlis (SAP), di sini.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata bagi sektor pertanian, penyaluran air ke kawasan tanaman padi akan diselaraskan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sementara itu, semakan di laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendapati paras air Empangan Timah Tasoh setakat Jumaat lalu berada pada tahap 71.13 peratus atau 28.15 meter.

Ia masih belum melepasi paras kritikal 26 meter.