fb fb fb fb fb

Kem Generasi Budaya: Asah bakat, kukuh jaringan seni budaya negara

Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris bersama peserta-peserta Kem Generasi Budaya Peringkat Kebangsaan 2025

KUALA LUMPUR, 19 Mei- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) terus komited memperkasa seni dan budaya tanah air menerusi penganjuran Kem Generasi Budaya Peringkat Kebangsaan 2025.

Program tersebut menjadi landasan strategik dalam membentuk jaringan penggiat seni budaya dari seluruh negara, di samping berkongsi ilmu serta kepakaran dalam bidang seni, budaya dan warisan.

Ia turut menyediakan ruang kepada peserta untuk memahami hala tuju semasa serta menyesuaikan pendekatan pengurusan seni budaya mengikut perkembangan zaman.

"Ini merupakan salah satu usaha penting kerana golongan ini memerlukan platform untuk berinteraksi dan dalam masa yang sama, mereka juga memerlukan bimbingan daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Kebudayaan, Yayasan Khazanah, dan MOTAC sendiri.

"Apabila mereka diberi pendedahan tentang sumber dan cara mendapatkan dana, ia dapat membantu mereka membiayai pelbagai aktiviti seni dan budaya dengan lebih terancang" jelas Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris.

Melalui kem tersebut, peserta diberi pendedahan secara teori dan praktikal menerusi pengisian seperti ceramah berkaitan bantuan dana, penajaan dan pemasaran produk, penulisan kertas kerja, latihan dalam kumpulan (LDK), sesi perbincangan dan pembentangan kumpulan (pitching), serta latihan produksi.

Seramai 90 peserta telah dipilih daripada keseluruhan 465 peserta yang menyertai enam siri Kem Generasi Budaya Peringkat Zon yang berlangsung tahun lalu.

Mereka terdiri daripada individu yang menunjukkan prestasi cemerlang serta komitmen tinggi dalam bidang seni dan budaya.

Kem yang berlangsung di Institut Kenegaraan Perdana mulai hari ini sehingga 25 Mei itu telah dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE