fb fb fb fb fb

Keluarga Malaysia perlu kekal bersatu demi kestabilan negara, politik - PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos- Keluarga Malaysia perlu kekal bersatu padu demi kestabilan negara dan politik.

Itu antara tiga pesanan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Beliau berkata, selain itu amat penting buat rakyat Malaysia untuk mengekalkan identiti dan jati diri.

Jelasnya, bentuk penjajahan ketika ini bukan lagi secara fizikal tetapi dari segi minda dan budaya.

"Kekalkan diri kita sebagai individu yang benar-benar merdeka kerana penjajahan baharu bukan secara bentuk fizikal seperti dulu tapi penjajahan baharu adalah melalui minda dan juga budaya.

"Kita mesti kekalkan jati diri sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri kita sendiri," katanya.

(Perdana Menteri ketika ditemu bual di NasionalFM hari ini)

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemu bual secara eksklusif di NasionalFM, di Angkasapuri hari ini.

Tambah Ismail Sabri, sebarang kegagalan jangan dijadikan noktah untuk seseorang terus mencuba sehingga mencapai kejayaan.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud.

Media Baharu