HULU TERENGGANU, 24 April- Kegembiraan enam sekawan bercuti di Air Terjun Sekayu, Hulu Terengganu bertukar tragedi selepas seorang daripadanya lemas, pagi tadi.
Mangsa, Syafiq Haikal Sharudin, 25 tahun lemas selepas cuba menyelamatkan rakannya yang terjatuh ke dalam air sewaktu mendaki laluan berbukit di tepi kawasan air terjun itu.
Rakan mangsa, Daniel Asmadi berkata beliau hilang keseimbangan sebelum tergelincir dan hampir lemas.
"Syafiq Haikal kemudiannya hulur kaki untuk saya berpaut.
"Malangnya, dia pula tergelincir dan jatuh ke dalam air," katanya kepada pemberita di sini.
Mangsa bagaimanapun gagal diselamatkan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Zulhisham Mohamad Yusop berkata sebuah jentera bersama-sama 10 anggota dihantar ke lokasi kejadian.
"Semasa tiba di lokasi kejadian, anggota melakukan 'skin dive', berjaya menemukan mangsa di celah batu pada kedalaman 1.5 meter.
"Mayat mangsa dari Padang Hiliran, Kuala Terengganu itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya