fb fb fb fb fb

KDN sasar perluas guna MyDigital ID dalam urusan saman trafik

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 21 April – Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhasrat memperluaskan penggunaan aplikasi MyDigital ID, khususnya dalam urusan berkaitan pembayaran saman trafik, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan dasar transformasi digital kerajaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata meskipun penggunaan MyDigital ID masih belum diwajibkan, namun ia merupakan langkah awal ke arah pelaksanaan sistem pengesahan identiti digital yang menyeluruh.

“Selepas ini, transaksi perkhidmatan awam dan swasta akan beralih ke arah penggunaan MyDigital ID. Kabinet sudah meluluskan pindaan Akta Pendaftaran Negara 1959 di peringkat dasar dan kini kita sedang dalam proses memuktamadkan matriks pindaan berkenaan, namun proses onboarding pengguna masih belum rancak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di ibu negara, hari ini.

Tambah beliau, sebarang urusan melibatkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pada masa hadapan juga akan mengutamakan pengguna yang berdaftar dengan MyDigital ID, termasuk pemberian diskaun saman lebih tinggi sebagai insentif.

Langkah itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk mempertingkat kecekapan perkhidmatan dan keselamatan data rakyat melalui transformasi digital bersepadu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN