fb fb fb fb fb

KBS jalin kerjasama dengan lima syarikat, perkasa belia dalam bidang TVET

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

PUTRAJAYA, 23 April- Seramai 2,000 orang pelajar Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dan 3,000 orang belia akan menerima manfaat menerusi kerjasama lima rakan strategik yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata KBS akan terus menambah baik dan menawarkan kursus-kursus berkualiti seiring perubahan teknologi terkini untuk memastikan golongan belia lebih berdaya saing, releven dan menepati keperluan industri.

Selain itu, ia seiring hasrat kerajaan yang menyasarkan peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor ekonomi menjelang 2030.

"Berkerjasama dengan pihak swasta dan memperkasa golongan belia terutama dalam TVET. Jadi, ini kali kedua kita adakan jalinan kerjasama dengan lima syarikat."

"Pelajar ILKBS sahaja, kita anggarkan 2,000 orang yang akan diberi latihan dan 3,000 belia di luar sana mempunyai latar belakang gig ataupun mereka nak masuk gig.

"Kategori ini mereka akan dapatkan latihan daripada KBS dan lima rakan strategik bagi memperkasakan golongan belia," kata Hannah kepada pemberita selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) program Kerjasama Strategik TVET dan Ekonomi Gig, di sini.

Jelasnya, pada peringkat permulaan KBS akan memfokuskan kepada lapan bidang kemahiran iaitu teknologi sukan, fesyen dan pakaian, automotif, hospitaliti, fotografi dan teknologi maklumat, kosmetologi, eletrikal dan mekanikal.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM