fb fb fb fb fb

Kawal selia aktiviti pembiayaan litigasi, kurangkan salah guna sistem keadilan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Februari- Malaysia menyeru penglibatan aktif masyarakat antarabangsa dalam wacana berhubung kawal selia pembiayaan litigasi pihak ketiga, merujuk kepada isu tuntutan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan pelaksananaan rangka kerja kawal selia mampu meminimumkan salah guna sistem keadilan, selain memelihara akses kepada pembelaan.

Beliau juga memuji usaha anggota Parlimen Eropah ke arah mengawal selia aktiviti pembiayaan litigasi pihak ketiga.

Usaha itu disifatkan relevan dengan tindakan Malaysia menangani pencabulan proses timbang tara dalam tuntutan Kumpulan Sulu yang menerima sokongan Therium selaku pembiaya pihak ketiga.

Menerusi ucapan pada rangka lawatan rasmi ke Brussels, Belgium, beliau turut menekankan keperluan ketelusan pembiaya litigasi, selain prosiding alternatif penyelesaian pertikaian bagi mengelakkan tuntutan palsu berulang.

Datuk Seri Azalina turut berkesempatan melancarkan e-book bertajuk "Sulu Fraud vs Malaysia's Truth" berkisarkan perjuangan Malaysia dalam berdepan tuntutan Sulu.

Isu tersebut menurut beliau, telah membangkitkan kepentingan akan perlunya menegakkan etika dan profesionalisme, selain amalan baik dalam kalangan penimbang tara antarabangsa.

Kerajaan MADANI kekal tegas dan teguh dalam memelihara kedaulatan dan kepentingan Malaysia, ke arah pembatalan penuh keputusan timbang tara ke atas Sulu.

ROSLINA BINTI DIN