Kapal LMSB2 ketiga ‘Tunku Osman Jewa’ dilancar di Turkiye

ISTANBUL, 10 Ogos – Kapal ketiga Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara rasmi dinamakan ‘Tunku Osman Jewa’ dan dilancarkan di Limbungan Kapal Istanbul, Turkiye, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultanah Kedah, selaku Penaung Diraja, menyempurnakan majlis penamaan dengan kehadiran Sultan Kedah, Raja Muda dan Raja Puan Muda.
  • Penamaan menghormati jasa Almarhum Jeneral Tan Sri Tunku Osman Mohamad Jewa, mengabadikan legasi Panglima Angkatan Tentera pertama anak watan.
  • Ketiga-tiga kapal akan menjalani integrasi penderia, pemasangan sistem peperangan, Ujian Penerimaan Pelabuhan dan Ujian Penerimaan Laut sebelum diserahkan.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, berkenan menyaksikan majlis penamaan dan pelancaran bersejarah kapal bernombor pennant 143 itu.

TLDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, majlis berkenaan disempurnakan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff, selaku Penaung Diraja.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamed Ariff.

Menurut TLDM, penamaan kapal itu merupakan penghormatan tertinggi negara bagi mengenang jasa serta mengabadikan legasi Almarhum Jeneral Tan Sri Tunku Osman Mohamad Jewa, yang merupakan kerabat diraja Kedah dan Panglima Angkatan Tentera pertama daripada kalangan anak watan.

Hadir sama delegasi Kementerian Pertahanan yang diketuai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan, Datin Roszanina Wahab, serta Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha.

Pelancaran ‘Tunku Osman Jewa’ (143) sekali gus melengkapkan siri tiga kapal LMSB2 yang dibina di Limbungan Kapal Istanbul, selepas dua kapal terdahulu, ‘Tunku Laksamana Abdul Jalil’ (141) dan ‘Raja Laut’ (142).

Ketiga-tiga kapal itu kini akan memasuki fasa integrasi sistem penderia (sensor), pemasangan sistem peperangan dan persenjataan sebelum menjalani siri Ujian Penerimaan Pelabuhan (Harbour Acceptance Trials) dan Ujian Penerimaan Laut (Sea Acceptance Trials).

Siri kapal LMSB2 berkenaan dijangka diserahkan secara rasmi kepada TLDM menjelang penghujung tahun depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.