fb fb fb fb fb

Kadar penerimagunaan rangkaian 5G meningkat 36 peratus setakat April - Fahmi

Kadar penerimagunaan 5G di negara ini telah mencecah hampir 36 peratus setakat pertengahan bulan ini, manakala kadar liputan perkhidmatan itu telah mencapai 80.3 peratus pada Februari lepas / Foto Hiasan

PADANG BESAR, 26 April - Kadar penerimagunaan 5G di negara ini telah mencecah hampir 36 peratus setakat pertengahan bulan ini, manakala kadar liputan perkhidmatan itu telah mencapai 80.3 peratus pada Februari lepas.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ia pencapaian yang baik memandangkan penerimagunaan 5G sebelum ini agak rendah iaitu sekitar 12 hingga 15 peratus pada November 2023.

"Jadi dalam tempoh cuma lima, enam bulan kita telah berjaya meningkatkan daripada 15 peratus lebih kurang ke lebih 35 peratus hampir 36 peratus sekarang. Jadi saya lihat ramai yang memanfaatkan terutama pakej-pakej 5G yang disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja projek Point Of Presence (POP) Zon Utara, di sini.

Tambah Fahmi, kerajaan dijangka mengumumkan rangkaian kedua 5G pada minggu hadapan yang dilihat akan membawa implikasi positif dan besar dari segi liputan serta penerimagunaan perkhidmatan tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN