PULAU PINANG, 16 Jun - Kadar kesuburan di Malaysia menunjukkan peningkatan kecil kepada 1.7 tahun ini berbanding 1.6 pada tahun sebelumnya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan giat melaksanakan inisiatif dengan memberi tumpuan kepada penyertaan lelaki agar isu ini dilihat sebagai tanggungjawab
bersama.
"Sekarang, kita mempunyai mempunyai banyak program yang memberi tumpuan kepada wanita. Tetapi, kita terlupa dengan fakta bahawa isu juga berpunca daripada golongan lelaki.
"Tahun ini, kita juga akan melibatkan lelaki dan memerlukan sokongan sokongan mereka. Kita telah mulakan di Sabah dan program kesedaran ini akan diteruskan ke beberapa lokasi lain," katanya.
Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Program Inspirasi Wanita: Womenpreneurs Shaping the Future Economy di Seberang Jaya, pagi tadi.
Tambah Datuk Seri Nancy, kerajaan turut menyediakan subsidi kepada pasangan berkahwin yang ingin mendapatkan anak, termasuk akses kepada rawatan kesuburan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Beliau juga berkata, pelbagai faktor menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan antaranya kekurangan sokongan penjagaan.
Faktor itu menjadi antara penghalang utama kepada pasangan bekerja untuk merancang keluarga.
"Tumpuan terhadap sektor penjagaan telah diberi sejak tahun lalu, namun sambutan masih rendah.
"Perlu juga perubahan budaya dalam masyarakat, agar penjaga dilihat sebagai profesional yang dihormati, dan bukan sekadar pembantu atau pekerja bawahan," katanya lagi.
Kerajaan katanya, berusaha memperkukuh sektor itu sebagai satu industri penting negara, yang bukan sahaja menyokong institusi keluarga, tetapi turut berpotensi menjana ekonomi.