fb fb fb fb fb

Kadar gaji minimum bakal diperluas

Kadar gaji minimum akan diperluas kepada graduan dan pekerja separa mahir, termasuk lepasan program TVET

KUALA LUMPUR, 31 Julai - Penambahbaikan pasaran buruh dan penyelarasan gaji turut diberi tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kadar gaji minimum akan diperluas kepada graduan dan pekerja
separa mahir, termasuk lepasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kod Piawaian pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) 8 dan ke atas.

Menurutnya, ikhtiar ini bertujuan menyediakan gaji setimpal setaraf kelulusan dan kemahiran pekerja.

"Peranan Majlis Perundingan Gaji Negara juga akan diperkasa, manakala portal e-MASCO akan ditambah baik sebagai instrumen pemantauan kadar gaji yang lebih telus dan responsif.

"Pada masa sama, Kerajaan juga menggalakkan syarikat-syarikat besar menyediakan gaji kehidupan wajar seperti yang telah dilaksanakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC)," katanya.

Datuk Seri Anwar berkata, kerajaan turut komited memperluas perlindungan sosial kepada pekerja melalui Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja yang akan menyediakan perlindungan insurans sosial menyeluruh termasuk di luar waktu kerja.

Beliau berkata, penggiat industri gig juga akan dipastikan tidak terpinggir daripada akses perlindungan sosial melalui penyediaan perundangan khusus di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital.

Dalam pada itu, kerajaan turut menyasarkan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing daripada 15 peratus sedia ada kepada 10 peratus menjelang 2030.

Perdana Menteri berkata, dalam usaha ini, pelaksanaan Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat akan dikuatkuasakan dengan lebih menyeluruh bagi menggalakkan majikan beralih kepada automasi, mekanisasi serta pengambilan pekerja tempatan.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK