fb fb fb fb fb

Juruterbang JBPM wajib laksana 12 Jam penerbangan sebulan

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad / Foto RTM

PUTRAJAYA, 30 Ogos - Semua juruterbang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini diwajibkan melaksanakan sekurang-kurangnya 12 jam penerbangan setiap bulan, berkuat kuasa sejak Jun lepas.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata sebelum ini, juruterbang hanya perlu mencapai lima jam penerbangan sebulan.

Menurutnya, peningkatan jam penerbangan itu bertujuan memastikan tahap kesiapsiagaan juruterbang sentiasa berada dalam keadaan optimum, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.

“Berdasarkan pencerapaan data dari Jun hingga kini, jumlah ini telah dipenuhi dan kami melihat perubahan positif dalam kalangan juruterbang kami. Ini membolehkan mereka mengoptimumkan kepakaran dan memastikan kesiapsiagaan pengoperasian pesawat berada dalam keadaan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di Ibu Pejabat JBPM, di sini.

Nor Hisham berkata, setakat ini JBPM mempunyai 25 juruterbang terlatih dan empat lagi sedang menjalani latihan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN