
SILVERSTONE, 6 Julai – Charles Leclerc menghadiahkan kemenangan ke-250 Ferrari dalam perlumbaan Formula One selepas muncul juara Grand Prix (GP) Britain di Litar Silverstone pada Ahad.
- Leclerc raih kemenangan kesembilan Grand Prix, pertama sejak GP AS Oktober 2024, dan melonjak ke tangga keempat keseluruhan dengan 108 mata.
- Kimi Antonelli mengalami masalah brek, masuk pit berkali-kali, dikenakan penalti lima saat dan hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-16.
- George Russell tamat kedua; Lewis Hamilton ketiga tetapi disiasat dakwaan bendera kuning selepas penalti lima saat kerana memulakan perlumbaan lebih awal.
Perlumbaan yang berlangsung sengit itu turut menyaksikan pendahulu kejuaraan dunia, Kimi Antonelli yang memandu jentera Mercedes gagal menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik.
Rakan sepasukan Antonelli yang juga pencabar kejuaraan, George Russell menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Lewis Hamilton yang memandu jentera Ferrari melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
Hamilton, juara sembilan kali GP Britain bagaimanapun disiasat kerana didakwa melanggar peraturan bendera kuning meski pun sebelum itu menjalani penalti lima saat akibat kesalahan memulakan perlumbaan lebih awal.
Antonelli, yang menjuarai perlumbaan pecut pada Sabtu masih mendahului kedudukan keseluruhan kejuaraan dunia dengan 179 mata, 25 mata di depan Russell, manakala Hamilton berada di tangga ketiga, kurang tujuh mata.
Kemenangan itu merupakan yang kesembilan buat Leclerc dalam perlumbaan Grand Prix dan yang pertama sejak menjuarai GP Amerika Syarikat di Austin pada Oktober 2024.
Kejayaan itu turut melonjakkannya ke tangga keempat keseluruhan dengan 108 mata.
“Akhirnya, kemenangan ini amat bermakna buat saya,” kata Leclerc menerusi radio kepada pasukannya selepas melepasi garisan penamat.
“Saya mengharapkan penamat yang biasa, tetapi segala kerja keras akhirnya membuahkan hasil. Masa sukar tidak lama, hanya mereka yang cekal akan terus bertahan.”
Antonelli memulakan perlumbaan dari petak utama namun dipintas dua pelumba Ferrari sebaik perlumbaan bermula sebelum kembali memberi saingan sengit kepada Leclerc.
Pada pusingan ke-42 daripada keseluruhan 52 pusingan, pelumba muda Itali berusia 19 tahun itu melaporkan masalah pada jenteranya dan terpaksa masuk ke pit.
Selepas kembali ke litar, Antonelli terus bergelut sebelum sekali lagi memasuki pit dengan mekanik menanggalkan saluran penyejukan brek.
Namun, usaha itu gagal menyelesaikan masalah yang dihadapinya dengan penalti lima saat yang dikenakan, Antonelli hanya mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16.
Sementara itu, Max Verstappen dilihat hampir pasti meraih tempat di podium ketika berada kukuh di kedudukan ketiga, namun pelumba Red Bull itu terbabas pada pusingan ke-48, sekali gus menjejaskan peluangnya. – AFP