Penduduk terjejas banjir meningkat, TLDM gerak misi bantuan di Pulau Pangkor

Foto Fail BERNAMA

IPOH, 18 Oktober – Seramai 100 penduduk terjejas banjir daripada 29 keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Larut, Matang dan Selama setakat 8 malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • PPS SK Matang Gelugor dibuka menempatkan mangsa banjir dari Kampung Matang Pasir dan Kampung Matang Gelugor.
  • TLDM Lumut menggerakkan 100 anggota dengan tiga FCB dan dua RHIB untuk misi bantuan di Pulau Pangkor.
  • TLDM menyediakan helikopter siap siaga, 300 bungkus makanan dan 425 botol air; pembersihan fokus SK Seri Pangkor, masjid, kediaman.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan, jumlah itu meningkat berbanding 90 penduduk terjejas daripada 27 keluarga pada 4 petang pada Ahad.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Gelugor dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir di Kampung Matang Pasir dan Kampung Matang Gelugor,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, sebanyak 56 penduduk daripada 21 keluarga kekal ditempatkan di PPS SK Matang susulan kejadian ribut yang menjejaskan penduduk di Kampung Changkat Baru Matang, Kampung Teluk Kertam, Kampung Melawati dan Kampung Hujung Matang.

Sementara itu, Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) dalam kenyataan memaklumkan, 100 anggota daripada Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut telah mengatur gerak bagi melaksanakan misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana susulan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Pulau Pangkor.

MPA Barat memaklumkan misi bantuan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Staf Operasi MPA Barat Komander Abdul Manan Mazlan itu melibatkan tiga buah Fast Combat Boat (FCB) dan dua buah Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) bagi menyokong pergerakan anggota serta penghantaran bantuan ke kawasan terjejas.

Manakala sebuah helikopter TLDM juga berada dalam keadaan siap siaga bagi memberikan sokongan udara sekiranya diperlukan.

“Dalam pelaksanaan misi bantuan ini, TLDM juga telah menyediakan sebanyak 300 bungkus makanan dan 425 botol air mineral untuk diagihkan kepada petugas terdiri daripada warga TLDM, guru, individu serta wakil beberapa agensi awam yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir.

“Kerja-kerja pembersihan tertumpu di SK Seri Pangkor, selain melibatkan masjid dan kediaman penduduk yang terjejas teruk akibat banjir serta dipenuhi mendapan lumpur tebal,” menurut kenyataan itu. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.