
LANGKAWI, 25 April – Jualan petrol RON95 di stesen sempadan negara berkurang sebanyak 20 peratus menerusi pemantauan dari 13 April hingga 21 April hasil pelaksanaan Op TIRIS dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
- Penugasan anggota polis di 91 stesen minyak sempadan bagi mengekang ketirisan subsidi petrol.
- Kerajaan terus memperkukuh kawalan sempadan untuk keselamatan negara dan lindungi kebajikan rakyat.
- Op TIRIS di Kedah rekod 58 kes rampasan pelbagai komoditi dengan nilai rampasan RM121,945.45.
- Komoditi utama diseludup termasuk diesel, petrol, LPG, minyak masak, gula dan tepung gandum; bahan api jadi tumpuan sindiket.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penugasan anggota polis di 91 stesen minyak berhampiran kawasan sempadan negara disifatkan sebagai langkah tepat dalam mengekang ketirisan subsidi yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
“Sejak kita menempatkan anggota polis bermula 13 April hingga 21 April, iaitu dalam tempoh lapan hari, data terkumpul menunjukkan jualan petrol RON95 menyusut sebanyak 20 peratus, manakala jualan RON97 meningkat.
“Maksudnya, strategi yang kita laksanakan ini berkesan. Penurunan 20 peratus itu boleh diunjurkan sebagai petunjuk bahawa sebelum ini telah berlaku kebocoran yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan kerja ke Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Telok Ewa dan Pelabuhan Telaga Harbour, di sini hari ini.
Dalam pada itu kerajaan akan terus memperkukuh kawalan sempadan negara sebagai langkah memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara serta melindungi kebajikan rakyat, khususnya daripada kesan ketirisan barangan bersubsidi yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan domestik.
Bagi negeri Kedah, pelaksanaan Op TIRIS bagi tahun 2026 sehingga 22 April telah merekodkan sebanyak 58 kes melibatkan rampasan pelbagai komoditi barangan kawalan dengan jumlah kuantiti keseluruhan barang sebanyak 33,586 dan nilai rampasan berjumlah RM121,945.45.
Komoditi terlibat merangkumi diesel, petrol, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, gula pasir kasar dan tepunggandum, mencerminkan kepelbagaian barangan yang menjadi sasaran aktiviti penyeludupan.
Daripada jumlah tersebut, rampasan diesel mencatatkan nilai tertinggi iaitu sebanyak RM101,676.20, diikuti petrol sebanyak RM10,561.54, minyak masak RM4,839.60, LPG RM3,873.20, gula pasir kasar RM668.07 dan tepung gandum RM326.84.
Komoditi bahan api terus menjadi sasaran utama sindiket, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti laluan sempadan darat dan perairan negeri Kedah.
Selain pemantauan operasi, lawatan itu turut memberi tumpuan kepada kebajikan anggota keselamatan yang bertugas di kawasan sempadan, termasuk keperluan kemudahan asas dan sokongan operasi bagi memastikan kesiapsiagaan mereka sentiasa berada pada tahap optimum.