
KUALA LUMPUR, 25 April – Sebanyak 13 daerah di lima negeri dilaporkan mengalami cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) setakat jam 6.00 pagi tadi.
- Beberapa daerah di Perlis, Kedah, Kelantan, Perak dan Pahang dilapor terjejas oleh cuaca panas.
- Machang di Kelantan catat cuaca panas tahap dua.
- Tiada kes baharu pada 24 April; kumulatif 40 kes tahun 2026, 35 berkaitan kelesuan, strok dan kejang haba.
Ketika ditanya pemberita mengenai status terkini gelombang haba negara, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata kawasan terlibat meliputi Perlis serta beberapa daerah di Kedah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang, Padang Terap dan Sik.
“Di Kelantan, daerah terjejas Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai, manakala di Perak melibatkan Kuala Kangsar serta Hulu Perak. Jerantut di Pahang turut tersenarai dalam kategori sama.
“Dalam pada itu, satu daerah di Kelantan mencatatkan cuaca panas tahap dua (gelombang haba), iaitu Machang,” tambahnya.
Beliau turut berkata, dari segi kesihatan, tiada kes baharu berkaitan cuaca panas dilaporkan pada 24 April.
Secara kumulatif, jumlah kes berkaitan cuaca panas bagi tahun 2026 kekal sebanyak 40 kes.
Daripada jumlah itu, 35 kes melibatkan kelesuan haba, strok haba, kejang haba serta lain-lain kes berkaitan.
Kes tersebut termasuk melibatkan individu yang menjalankan aktiviti fizikal seperti anggota keselamatan dan atlet.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan keadaan masih terkawal, namun pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan kesihatan awam sentiasa terpelihara.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Buku Resipi “Mai Kurang” dan Rewang Bersama Komuniti di Memorial Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.