MOT sedia teliti mekanisme kurang kadar cukai jalan

Anthony Loke Siew Fook/ BERNAMA

BATU KAWAN, 25 April – Kementerian Pengangkutan (MOT) bersedia untuk meneliti mekanisme bersesuaian bagi pengurangan kadar cukai jalan bagi kenderaan yang menggunakan diesel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program BUDI Diesel memberikan bantuan sehingga RM400 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel yang terjejas.
  • Bas dan lori masih menerima kemudahan melalui fleet card untuk meringankan beban operasi.
  • Pengurangan cukai jalan untuk kenderaan diesel sedang dikaji, termasuk kadar sesuai dan impak kepada hasil negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu bertujuan mengimbangi kesan penyelarasan subsidi diesel bagi kategori pemilik kenderaan yang tidak menerima bantuan subsidi langsung.

“Sekiranya kita tidak meletakkan harga pasaran kepada diesel ini, ia akan menyebabkan lebih banyak aktiviti penyeludupan. Itu antara cabaran yang kita hadapi.

“Jadi, bagi membantu pemilik kenderaan diesel, pada masa ini kita ada program BUDI Diesel yang memberikan bantuan sehingga RM400 sebulan. Selain itu, pemilik kenderaan seperti bas dan lori juga masih menerima kemudahan melalui fleet card.

“Bagi pemilik kenderaan yang tidak menerima bantuan atau subsidi ini, kita sedang meneliti langkah untuk membantu mereka, termasuk kemungkinan mengurangkan cukai jalan bagi kenderaan diesel.

“Namun, perkara ini memerlukan sedikit masa untuk dikaji dari segi implikasi, termasuk kadar penurunan yang sesuai serta kesan kepada hasil negara yang perlu dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke-80 dan Karnival Mega JPJ MADANI di Pekarangan Stadium Negeri, di sini.

Pelarasan itu penting bagi memastikan pemilik kenderaan diesel yang terkesan akibat harga apungan pasaran mendapat pembelaan sewajarnya selain tidak mengabaikan aspek keselamatan sempadan daripada risiko aktiviti penyeludupan.