Jualan Rahmah MADANI diperluas, kawal kenaikan harga susulan gaji minimum baharu

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Program Jualan Rahmah MADANI akan diperluas bagi membantu mengekalkan kestabilan harga barangan keperluan dan mengelakkan kenaikan harga secara mendadak susulan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM2,000 mulai Jun 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan untuk melindungi pengguna daripada kesan kenaikan kos sara hidup.
  • Kerajaan menyasarkan 30,000 program Jualan Rahmah MADANI dan 5,000 Jualan Agro MADANI dengan peruntukan RM700 juta dan RM50 juta.
  • PMKS berpendapatan bawah RM50 juta dikecualikan daripada kadar gaji minimum baharu bagi memberi ruang penyesuaian kepada majikan.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata langkah itu akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan kos sara hidup.

Beliau berkata kerajaan menyasarkan pelaksanaan 30,000 program Jualan Rahmah MADANI dan 5,000 program Jualan Agro MADANI tahun depan, dengan peruntukan masing-masing RM700 juta dan RM50 juta.

“Dari segi kekerapan program Jualan Rahmah MADANI dan juga kita ada salurkan peruntukan untuk Jualan Agro MADANI, yang mana untuk tahun depan kita sasarkan RM50 juta untuk 5,000 program Jualan Agro MADANI dan juga 30,000 program Jualan Rahmah MADANI ini dengan perbelanjaan atau peruntukan RM700 juta,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan, di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Akmal berkata perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu bagi memberi ruang kepada majikan menyesuaikan kedudukan kewangan dan operasi perniagaan.

Beliau turut berkata pekerja yang kehilangan pekerjaan susulan penstrukturan semula syarikat dan dilindungi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) layak menuntut faedah berkenaan, termasuk elaun mencari pekerjaan bagi tempoh sehingga enam bulan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.